REFLEKSI PERLAKSANAAN PROJEK SAINS KEHIDUPAN

Saturday, April 24, 2010


REFLEKSI 1

Disediakan Oleh:
NurulNadia Bt Mohamed Khasim (A111476)
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM. Syukur kepada Allah memberi peluang kepada saya dan juga ahli kumpulan dalam melaksanakan projek sains kehidupan tentang keusahawanan di bawah seliaan Cik Halimah Harun ini. Pada ruangan refleksi ini saya akan menceritakan apa yang dilalui sepanjang perlaksanaan projek sains kehidupan tentang lebah madu dalam konteks keusahawanan. Semoga refleksi yang cuba dicoretkan di sini dapat memberi manfaat untuk diri saya terutamanya dalam memahami erti kehidupan sebenar seorang usahawan dan sebagai satu motivasi kepada diri sendiri untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan ini. Berikut adalah refleksi perlaksanaan projek tentang keusahawanan lebah madu mengikut episod-episod dari permulaan hingga ke pengakhiran.
Episod Pertama: Penentuan penyelia projek sains kehidupan beserta ahli kumpulan.
Para pelajar yang mengambil kursus ini iaitu Sains Kehidupan akan menjalankan projek tertentu bergantung kepada arahan penyelia masing-masing. Penentuan penyelia dijalankan semasa sesi kuliah yang dikendalikan oleh Cik Halimah. Senarai nama pelajar di paparkan di skrin beserta penyelia masing-masing dan seramai 30 orang pelajar di bawah seliaan Cik Halimah termasuklah saya. Kemudiaannya seramai 30 orang tersebut dipecahkan kepada enam kumpulan di mana satu kumpulan diwakili lima orang pelajar. Pembahagian ahli kumpulan ditentukan oleh penyelia sendiri dan antara ahli kumpulan saya adalah Zuraihah, Hidayah, Zamzul dan Kamaluddin.
Episod Kedua: Bentuk projek yang perlu dilaksanakan
Pada permulaannya saya menyangka pelajar sendiri yang perlu menjadi usahawan dengan terlibat dalam kegiatan keusahawanan seperti perniagaan , akan tetapi sangkaan saya rupanya silap. Bentuk projek yang sebenarnya perlu dilaksanakan oleh para pelajar di bawah seliaan cik Halimah adalah setiap kumpulan dikehendaki menjalankan penyelidikan tentang seseuatu projek keusahawanan dengan merasai pengalaman sendiri berkunjung ke tempat yang dijalankan sesuatu perusahaan dan menemubual pengusaha. Setiap kumpulan dikehendaki menghantar proposal tentang tajuk projek keusahawanan pilihan masing-masing kepada penyelia sebelum mendapat kelulusan projek yang ingin dijalankan.
Episod Ketiga; Pemilihan tajuk projek
Saya bersama ahli kumpulan yang lain mengadakan perjumpaan untuk sesi pebincangan dalam pemilihan tajuk projek usahawan yang ingin dijalankan. Hasil perbincangan kami memilih untuk menjalankan kajian keusahawanan tentang teh di Cameron Highland. Proposal di hantar kepada penyelia dan tajuk pilihan kami diluluskan. Namun begitu, pada sesi perbincangan yang lain, salah seorang ahli kumpulan mencadangkan tajuk madu lebah dan kebetulan projek keusahawanan lebah ini dimajukan oleh seorang pengusaha berbangsa Cina di negeri Melaka. Penukaran tajuk daripada teh kepada madu lebah ini disebabkan potensi madu lebah lebih baik berbanding teh pada tanggapan kami.




Episod Keempat: Perlaksanaan Projek Penyelidikan Tentang Perusahaan Lebah Madu di Melaka
Kajian tentang projek keusahawanan lebah madu ini di jalankan di dua buah tempat iaitu Muzium Lebah Sedunia, Ayer Keroh Melaka dan Ladang Penternakan Lebah, Bukit Katil Malaka pada tarikh yang berbeza.
Tarikh: 4 Mac 2010 bersamaan 18 Rabiul Awwal 1431
Pada hari khamis bertarikh 4 Mac 2010 bersamaan 18 Rabiul Awwal 1431, saya bersama ahli kumpulan bertolak ke Melaka bagi menjalankan gerak kerja yang diamanahkan ini. Sebelum ke sana kami telah membuat temu janji terlebih dahulu dengan Mr. Ong Kang Peng selaku pemilik muzium lebah sedunia beserta ladang ternakan lebah. Setibanya di Muzium Lebah Sedunia yang merupakan destinasi pertama halatuju kajian kami, saya dan juga ahli kumpulan disambut baik oleh salah seorang pekerja di situ yang dikenali dengan panggilan Mr. Wong.
Kami seterusnya meninjau di sekitar Muzium tersebut. Apa yang pengunjung boleh dapati di dalam muzium ini antaranya pemeran pelbagai spesies lebah yang telah diawet, pemeran produk madu dari pelbagai jenis negara yang mana bukan untuk dijual, serta produk-produk pengeluaran berasaskan lebah seperti madu asli, propolis, krim bisa lebah dan sebagainya. Kami menggunakan ruang kesempatan yang ada dengan mengajukan pelbagai persolan kepada Mr.Wong berdasarkan pengetahuan sedia ada beliau tentang lebah madu ini. Setiap persoalan yang diajukan dijawab baik oleh Mr. Wong dan layanan mesra yang diberikan membuatkan kami tidak merasa kekok berkomunikasi dengannya.

Pelbagai maklumat yang di perolehi bekaitan lebah madu ini. Namun begitu memandangkan Mr. Wong bukan pemilik syarikat lebah ini, maka maklumat yang berkaitan pengurusan kewangan termasuk modal, kos perbelanjaan dan lain-lain yang berkaitan tidak kami perolehi. Maklumat berkaitan selok belok pengurusan kewangan perlu kami dapatkan dari Mr. Ong pemilik syarikat lebah itu sendiri.

Tarikh: 5 Mac 2010 bersamaan 19 Rabiul Awwal 1431
Saya dan juga ahli kumpulan lain meneruskan gerak kerja kami dalam penyelidikan keusahawanan lebah madu ini dengan beralih ke destinasi seterusnya iaitu Ladang Penternakan Lebah di Bukit Katil Melaka. Jika sebelum ini kami mendapatkan maklumat melalui temubual dengan pekerja di Muzium Lebah Sedunia, namun pada kali ini kami berpeluang berjumpa dan menemubual sendiri pemilik ladang ternakan lebah iaitu Mr. Ong Kang Peng.
Temujanji yang dibuat antara kami dengan Mr. Ong Kang Peng adalah pada pukul 3 petang. Memandangkan beliau seorang yang sibuk, penetapan jadual waktu bersama pelanggan perlu diatur dengan baik agar tidak bertembung dengan agenda lain yang lebih penting..Alhamdulillah, kami berkesempatan berjumpa sendiri dengan beliau dan mendapatkan maklumat sebanyak mungkin berkaitan perusahaan lebah madu ini. Antara persoalan yang dikemukakan dari segi idea penglibatan dalam usahawan lebah madu ini, modal, kuantiti penghasilan madu dalam 1 hive beserta kekerapan kutipan, pengurusan pekerja dan hal yang berkaitan lebah.


Kami seterusnya berpeluang menyaksikan sendiri ternakan lebah dalam hive di bawah teduhan pokok durian yang terdapat di ladang tersebut. Mr. Ong menunjukkan kepingan sarang lebah yang di ambil dari hive tersebut dan memberi keizinan untuk kami memegangnya. Kami kemudiannya melawat pesekitaran ladang ternakan lebah tersebut dan mengambil gambar. Kami juga bergambar dengan Mr. Ong Kang Peng dan menyerahkan cenderahati sebagai tanda terima kasih atas kerjasama yang diberikan beliau dalam melancarkan lagi penyelidikan kami ini.
Setelah urusan kami selesai di ladang ternakan tersebut memandangkan apa yang kami hajati tercapai juga akhirnya, kami kemudiannya berangkat menuju ke pejabat pentadbiran beliau sendiri yang mana di situ juga terdapat ruangan khas penjualan produk-produk berasaskan lebah. Pada mulanya sebelum kajian dijalankan di tempat itu, saya beranggapan lebah hanya mengeluarkan madu. Namun begitu setelah melalui sendiri pengalaman berdasarkan pemerhatian terhadap perusahaan lebah madu ini, hakikatnya lebah bukan hanya mengeluarkan madu bahkan pelbagai manfaat lain lagi yang ada pada lebah seperti propolis, debunga asli, larva lebah, lilin lebah dan bisa lebah.
Perasaan taa’jub terhadap hikmat penciptaan lebah menyedarkan saya akan kehebatan Allah Taala dan pelbagai nikmat yang Allah berikan kepada manusia dengan mengambil manfaat dari penciptaan lebah ini. Maka bermainlah di kotak fikiran saya potensi perusahaan lebah madu ini bukan hanya dilihat dari skop yang sempit sahaja iaitu pengelaran madu semata-mata, malah apa sahaja yang boleh di ambil manfaat dari lebah boleh dijadikan produk keluaran yang boleh mendatangkan keuntungan lumayan.


Episod Kelima: Sesi Pembentangan
Perlaksanaan projek tentang keusahawanan lebah madu ini, dengan berkat bantuan dari Allah serta usaha sesama ahli kumpulan, akhirnya kami dapat melaksanakan juga.Begitu juga dengan ahli kumpulan yang lain masing-masing dapat menyiapkan tugasan yang dipertanggungjawabkan ini.
Hasil penyelidikan kami serta lima kumpulan lain perlu dibentangkan di hadapan penyelia dan ahli kumpulan lain. Jika kajian mengenai keusahawanan lebah madu menjadi kajian kami, bagi lima kumpulan lain pula telah menjalankan kajian keusahawanan mengenai kerepek, pertanian cili cara moden, gamat, keropok lekor dan ikan kelah. Pelbagai persoalan diajukan oleh Cik Halimah sepanjang sesi perbentangan berjalan.
Episod Terakhir: Pembuatan Buku
Gerak kerja kami diteruskan lagi dengan membuat sebuah buku berkaitan kajian projek keusahawanan lebah madu ini. Segala maklumat yang berkaitan keusahawanan lebah madu ini perlu di muatkan ke dalam sebuah buku dan buku tersebut akan menjadi penilaian penyelia. Usaha yang dilakukan ini walaupun melalui pelbagai rintangan namun cukup memberi pengalaman bermakna dalam diri saya. Ilmu berkaitan keusahawanan ini selain ditimba melalui pembacaan, mahupun penyelidikan ianya turut diperolehi dari penyelia sendiri Cik Halimah yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dan juga pelajar-pelajar lain.

REFLEKSI 2

Disediakan Oleh:
Nurul Hidayah Bt Mohd Anuar (A111729)

Tarikh : 4. Mac. 2010
Hari : Khamis
Pada jam 12.00 tengah hari, saya bersama empat orang ahli kumpulan yang lain bertolak ke Melaka untuk menjalankan satu kajian yang berkaitan dengan lebah madu bagi memenuhi tugasan kursus GGGB4113 (Sains Kehidupan Dalam Pendidikan). Perjalanan dari Universiti Kebangsaan Malaysia ke Ayer Keroh, Melaka mengambil masa lebih kurang 2 jam 30 minit. Kami tiba di Muzium Lebah Sedunia, Ayer Keroh pada jam 3.00 petang. Muzium ini terletak di Jalan Air Keroh, hanya sekitar 3 kilometer dari pintu keluar Highway PLUS Ayer Keroh. Kunjungan saya kesana telah memberikan banyak ilmu yang berkaitan lebah dan madu.
Muzium ini memaparkan pelbagai spesis serangga khususnya lebah, tebuan, peringat, kelulup dan banyak lagi. Serangga-serangga ini diawetkan terlebih dahulu sebelum dipamerkan untuk pemuziuman. Serangga-serangga ini diperoleh daripada pembekal dan juga orang perseorangan yang , di seluruh negara. Muzium Lebah Sedunia ini telah ditubuhkan oleh Mr Ong Kang Peng yang merupakan seorang pakar pemeliharaan dan penjagaan lebah. Beliau memulakan perniagaan lebah sejak tahun 1978 lagi.

Melalui pameran yang telah dipamerkan ini, pelbagai ilmu berkenaan lebah telah dapat saya pelajari khususnya berkaitan anatomi, spesis, habitat, pemakanan, serta khasiat madu lebah itu sendiri. Selain melihat pameran tersebut, kami diberi peluang untuk menikmati pelbagai produk hasil lebah seperti jeli raja, propolis dan madu biasa.Setelah melihat pameran di Muzium Lebah, kami bertolak ke Bandar Melaka lebih kurang jam 5.00 petang untuk mencari tempat penginapan.
Tarikh : 5. Mac. 2010
Hari : Khamis
Selepas selesai bersarapan pagi,saya bersama empat lagi rakan kumpulan yang lain memulakan perjalanan ke Ladang Penternakan Lebah, Bukit Katil, Melaka. Perjalanan dari tempat penginapan kami ke sana menambil masa lebih kurang 20 minit.
Kami tiba di Ladang Penternakan Lebah, sekitar jam 10.45 pagi. Saya sedikit kecewa kerana saya membayangkan ladang tersebut besar, namun ianya hanyalah sebuah kedai yang mempemarkan produk yang dihasilkan daripada lebah. Setibanya di sana, kami disambut baik oleh kaki tangan bertugas dan memperkenalkan kami kepada Mr. Ong Kang Peng iaitu pengusaha kilang/ladang penternakan lebah.Selepas mendengar taklimat ringkas berkenaan sejarah penubuhan, operasi ladang, serta informasi berkaitan lebah kami dibawa ke tapak penternakan lebah oleh Mr. Ong sendiri. Tibanya di sana, saya begitu teruja dengan keunikan kaedah penternakan lebah secara moden. Kaedah sangkar ini divarisikan dengan kaedah tradisional yang mengelilingi pokok durian.

Kawasan penternakan ini merupakan kawasan larangan. Hanya kakitangan serta orang tertentu sahaja dibenarkan masuk. Ini kerana bagi mengelak berlaku sebarang kajadian yang tidak diingini berlaku. Di sana juga kami telah diberi penerangan dengan lebih terperinci berkenaan teknik pemeliharaan dan penjagaan lebah.Mr. Wong merupakan seorang pakar dalam hal yang berkaitan penjagaan dan penternakan lebah. Beliau telah berkecimpung dalam dunia lebah lebih 20 tahun. Banyak pengalaman beliau dalam dunia penternakan lebah telah dikongsi bersama kami. Beliau juga merupakan seorang yang baik hati serta peramah dan mesra dengan pengunjung.
Di sana juga, kami diberi peluang untuk mendekati sangkar lebah. Kami di ajar teknik membuka sangkar lebah bagi mengelak daripada disengat. Saya tidak melepaskan peluang untuk membuka sangkar tersebut. Saya sempat memegang kepingan sarang lebah yang mengandungi ratusan ekor lebah. Sebaik sahaja membuka penutup sangkar, ratusan ekor lebah keluar dan mengerumuni saya. Saya agak panik, namun Mr. Wong menyuruh saya supaya tenang kerana lebah-lebah itu tidak akan menyengat.
Setelah selesai membuat lawatan di ladang penternakan tersebut, saya dan rakan yang lain di bawa Mr. Ong ke bahagian pentadbiran. Di sana kami telah diberikan peluang untuk menikmati pelbagai produk dari lebah. Di sini, ilmu berkenaan lebah dapat saya perolehi lagi. kami juga telah diberi sedikit cenderahati dari pihak ladang. Ribuan terima kasih diucapkan kepada Mr. Ong dan warga Ladang Penternakan Lebah Bukit Katil kerana memberikan kerjasama serta ilmu dalam program lawatan kami.

REFLEKSI 3

Disediakan oleh:
Mohd Zamzul Bin Che Ismail (A1115137)

Pada 4 Mac 2010 yang lepas, saya bersama-sama 4 ahli kumpulan yang lain bertolak ke Melaka untuk membuat lawatan ke Muzium Lebah Sedunia bagi menyiapkan salah satu tugasan kursus Sains Kehidupan dibawah kendalian Cik Halimah Harun Sebagai ketua kumpulan, saya bertanggungjawab dalam memastikan keselamatan ahli-ahli kumpulan sepanjang lawatan ini. Muzium ini menyediakan pelbagai jenis madu dan kami mendapat banyak maklumat-maklumat tentang madu daripada Mr Wong iaitu salah seorang pekerja di muzium tersebut. Layanan mesra yang diberikan oleh mereka membuatkan kami tidak segan untuk bertanya dengan lebih mendalam tentang lebah madu ini.
Terdapat pelbagai jenis madu dipamerkan di sana untuk perhatian para pengunjung baik dari dalam mahupun luar negara. Setiap ahli kumpulan menjalankan tugas masing-masing dalam memastikan tiada maklumat yang tercicir tentang lebah madu ini. Kami dinasihatkan oleh Mr Wong agar melawat sendiri tapak penternakan lebah yang terletak di Bukit Katil untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang lebah.Setelah meninjau sekitar muzium sambil bergambar untuk dijadikan kenangan,kami tidak melepaskan peluang untuk mencuba madu-madu yang mempunyai pelbagai khasiat dan kegunaan itu setelah mendapat keizinan daripada pihak muzium. Setelah berpuas hati dengan segala maklumat yang diberikan,kami menyerahkan sedikit cenderamata dari UKM sebagai tanda penghargaan kami kepada pihak muzium sebelum bertolak pulang ke tempat penginapan.
Pada 5 MAC 2010, kami bertolak ke Bukit Katil pada pukul 9 pagi. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang sejam dimana temujanji kami dengan pemilik ladang tersebut pada pukul 10 pagi. Kami terpaksa menunggu seketika kerana Mr Ong iaitu pemilik ladang tersebut sedang berurusan dengan pelangan-pelangannya.Setelah semua selesai,Mr Ong sendiri membawa kami melawat ladang tersebut yang terletak tidak jauh dari kedai tersebut. Kami berasa sangat bangga kerana Mr Ong sendiri yang membawa kami ke sana walaupun beliau sibuk dengan urusan kerja yang lain. Perjalanan ke sana mengambil masa lebih kurang 15 minit.
Pada mulanya kami agak bimbang jika sekiranya kami tidak dapat kerjasama yang sepenuhnya daripada beliau memandangkan beliau merupakan seorang usahawan yang berjaya dan setiap masa dan waktu dipenuhi dengan urusan-urusan kerja. Sangkaan kami sama sekali meleset apabila Mr Ong memberikan kerjasama yang sangat baik sepanjang temu bual dengaannya berlangsung.Beliau sedia berkongsi pengalaman dari peringkat awal memulakan perniagaan sehinggalah menjadi seorang usahawan yang berjaya sekarang. Sikap beliau yang cukup peramah membuatkan kami semakin bersemangat untuk mengorek rahsia kejayaan beliau dalam perniagaan sebagai motivasi kepada diri kami untuk berjaya di masa depan.






Selain itu,kami cukup terkilan kerana tidak dapat melawat ke kilang pemprosesan madu yang dimiliki oleh Mr Ong sendiri atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Ia sedikit sebanyak merencatkan usaha kami untuk mendapatkan maklumat yang lebih terperinci tentang pemprosesan madu.Namun begitu,dengan penerangan yang cukup jelas dari Mr Ong,ia sedikit sebanyak menampung kekurangan maklumat pemprosesan madu.Mr Ong banyak membantu kami dalam memberi input-input penting dalam pemprosesan lebah.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada Mr Ong dan pihak-pihak yang terlibat sepanjang kami berada disana. Kerjasama dan layanan yang diberikan membuatkan kami teruja untuk datang lagi jika ada masa yang terluang. Banyak pengalaman-pengalaman berharga dan kata-kata perangsang diperolehi sepanjang kami berada di sana.
Kami tidak lupa memberikan sedikit cenderamata dari UKM sebagai tanda penghargaan dari kami dan Mr Ong juga menghadiahkan 5 botol madu kecik kepada kami sebagai tanda menghargai usaha kami yang datang dari jauh untuk meneroka dunia perniagaan pada masa kini. Semoga apa yang kami perolehi sepanjang lawatan ini akan menjadi semangat baru untuk kami menerokai alam perniagaan pada masa akan datang.

REFLEKSI 4

Disediakan oleh:
Zuraihah Bt Othman (A115977)

Pada 4 mac 2010, saya bersama 4 ahli kumpulan yang lain bertolak ke Melaka untuk membuat lawatan ke muzium lebah sedunia. Lokasi tersebut tidak lah terlalu susah untuk dicari. Di sana mempunyai banyak jenis-jenis madu yang telah siap diproses. Muzium ini tidaklah terlalu besar. Tetapi, pelbagai pengetahuan yang akan kita dapati apabila melawati tempat tersebut. Kelihatan di sini semua pekerjanya adalah berbangsa cina. Akan tetapi, walaupun berbeza agama dan bangsa, layanan yang diberikan kepada kami begitu memuaskan. Mereka semua sungguh peramah dan pandai mengambil hati menyebabkan kami semua tidak terlalu segan.
Apabila kami sampai di sana, seorang pekerja telah ditetapkan untuk memberikan kerjasama kepada kami dalam hal-hal yang berkaitan dengan usahawan madu lebah ini. Saya amat kagum sekali apabila di sini terdapat banyak jenis madu yang mempunyai nama dan kegunaan yang pelbagai. Di sini kebanyakannya hanya sekadar pameran sahaja yang berkaitan dengan lebah. Akan tetapi, untuk tempahan dan pembelian juga disediakan perkhidmatannya di sini. Keesokan harinya pula kami akan melawat ladang lebah itu sendiri yang terletak di bukit katil. Masa untuk ke sana lebih kurang sejam perjalanan.



Pada 5 MAC 2010, kami meneruskan perjalanan kami ke bukit katil yang mana terletaknya ladang yang terbesar di Melaka yang dimiliki oleh Mr.Ong. Pada mulanya kami agak bimbang jika sekiranya kami tidak dapat kerjasama yang sepenuhnya daripada beliau. Pandangan awal saya kemungkinan Mr.Ong tidak akan dapat memberi kerjasama memandangkan beliau seorang yang sibuk dan merupakan pemilik kepada ladang tersebut. Akan tetpi, sangkaan saya sama sekali salah. Mr. Ong terlalu peramah. Sama juga dengan pekerja-pekerjanya di muzium semalam.
Dari pejabat beliau, beliau sendiri turun padang untuk membawa kami ke ladang nya. Dari tempat beliau ke ladang mengambil masa dalam 15 minit untuk sampai. Pada masa itu, saya sangat terharu kerana tidak menyangka pemilik ladang sendiri yang merangkap bos sanggup mengorbankan masa beliau semata-mata untuk kami. Walaupun saya tahu dari keadaannya yang kelihatan terlalu sibuk, namun beliau sudi memberikan sedikit masa beliau kepada ahli kumpulan kami. Apabila sampai ke ladang tersebut, sekali lagi saya kagum kerana tidak menyangka Mr.Ong mempunyai ladang ternakan lebah yang begitu luas. Akan tetapi, saya agak terkilan kerana tidak dapat melawat ke kilang pemprosesan lebah madu yang dimiliki oleh beliau. Hal ini kerana atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan. Selepas ke sana, banyak input-input penting yang saya dapati yang berkaitan lebah dan madunya.
Saya amat berterima kasih kepada Mr.Ong dan pekerjanya di atas kerjasama dan layanan yang diberikan. Begitu besar jasa beliau dalam proses menyiapkan projek kami ini. Tidak sia-sia kesanggupan kami untuk datang ke Melaka walaupun agak jauh dari UKM. Namun, kami amat berpuas hati. Saya harap saya akan dapat berkunjung ke sana lagi untuk kali yang ke2. InsyaAllah.

REFLEKSI 5

Disediakan oleh:
Ahmad Kamaluddin Bin Rofien (A115978)

BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM. Terlebih dahulu saya ingin mengucap syukur kepada Allah s.w.t kerana memberi peluang pada saya untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang madu lebah ini. Di samping tujuan yang sebenarnya membuka peluang pada saya sendiri untuk membuka mata saya bagaimana madu diproses dan di jual. Pada 4hb Mac 2010 saya dan ahli kumpulan saya telah pergi ke Giant BB di Melaka untuk melihat sendiri bagaimana madu di hasilkan dan dipasarkan. Setibanya di sana kami telah bertemu dengan salah seorang pengurus syarikat Giant BB dan di beri taklimat mengenai lebah dan madu.
Saya berasa teruja kerana baru saya tahu bahawa sebenarnya jika kita ada kemahuan dan niat madu yang kita anggap susah mendapat pasaran kerana persaingan sebenarnya mampu membuatkan kita maju lebih dari yang kita sangka. Cuma kita perlu mengetahui selok belok perniagaan ini dengan kaedah yang betul. Saya suka mendengar kata-kata Mr Ong selaku pengarah syarikat tersebut,beliau mengatakan jangan takut menanggung risiko kerana dalam dunia ini tiada apa yang mampu kita buat jika kita tidak berani dalam apa jua yang kita lakukan dan inilah yang saya rasa jika kita ingin menjadi usahawan yang berjaya.



Di sini, saya telah mengetahui selain madu untuk menghasilkan minuman kesihatan,madu juga boleh menghasilkan sabun,ubat-ubatan,rawatan muka atau ubat-ubatan. Selepas itu,keesokkan harinya kami telah dibawa ke ladang menternak lebah,di sanalah kami dapt melihat secara langsung bagaimana lebah yang diternak dipelihara di dalam kotak atau dipanggil rumah untuk menghasilkan madu. saya fikir menternak lebah adalah susah tetapi sebenarnya senang jika kita mengetahui kaedah yang betul untuk menjaga dan menternak lebah dan cara yang betul untuk menghasilkan madu dari lebah tersebut. Di samping saya dapat mengetahui bahawa menternak lebah sebenarnya tidak memerlukan modal yang besar pada permulaannya tetapi memerlukan kepakaran. Itu yang dikatakan oleh Mr. Ong.
Setelah itu,saya dan ahli kumpulan lain telah melawat dan berjalan-jalan melihat keindahan Melaka yang penuh dengan sejarah dan tarikan pelancong dari dalam negara dan luar negara. Kami berasa sungguh gembira dapat menjijak kaki ke negeri ini dan merasakan Melaka adalah satu negeri yang penuh dengan pelbagai keunikkan yang tersendiri. Akhir sekali saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Cik Halimah Harun kerana sanggup memberi peluang pada saya dan ahli kumpulan yang lain untuk meneroka dalam bidang keusahawanan ini. Tanpa tunjuk ajar beliau saya rasa saya tidak akan terfikir bahawa jika kita ada kemahuan disitu ada jalan dan saya teringat satu kata-kata hikmat, tiada jalan mudah untuk sampai ke destinasi tanpa ada rintangan.. sekian terima kasih pada semua yang menjayakan tugasan untuk subjek Sains Kehidupan dalam Pendidikan ini.