REFLEKSI 1

Saturday, April 24, 2010

Disediakan Oleh:
NurulNadia Bt Mohamed Khasim (A111476)
BISMILLAHIRRAHMANIRRAHIM. Syukur kepada Allah memberi peluang kepada saya dan juga ahli kumpulan dalam melaksanakan projek sains kehidupan tentang keusahawanan di bawah seliaan Cik Halimah Harun ini. Pada ruangan refleksi ini saya akan menceritakan apa yang dilalui sepanjang perlaksanaan projek sains kehidupan tentang lebah madu dalam konteks keusahawanan. Semoga refleksi yang cuba dicoretkan di sini dapat memberi manfaat untuk diri saya terutamanya dalam memahami erti kehidupan sebenar seorang usahawan dan sebagai satu motivasi kepada diri sendiri untuk menceburkan diri dalam bidang keusahawanan ini. Berikut adalah refleksi perlaksanaan projek tentang keusahawanan lebah madu mengikut episod-episod dari permulaan hingga ke pengakhiran.
Episod Pertama: Penentuan penyelia projek sains kehidupan beserta ahli kumpulan.
Para pelajar yang mengambil kursus ini iaitu Sains Kehidupan akan menjalankan projek tertentu bergantung kepada arahan penyelia masing-masing. Penentuan penyelia dijalankan semasa sesi kuliah yang dikendalikan oleh Cik Halimah. Senarai nama pelajar di paparkan di skrin beserta penyelia masing-masing dan seramai 30 orang pelajar di bawah seliaan Cik Halimah termasuklah saya. Kemudiaannya seramai 30 orang tersebut dipecahkan kepada enam kumpulan di mana satu kumpulan diwakili lima orang pelajar. Pembahagian ahli kumpulan ditentukan oleh penyelia sendiri dan antara ahli kumpulan saya adalah Zuraihah, Hidayah, Zamzul dan Kamaluddin.
Episod Kedua: Bentuk projek yang perlu dilaksanakan
Pada permulaannya saya menyangka pelajar sendiri yang perlu menjadi usahawan dengan terlibat dalam kegiatan keusahawanan seperti perniagaan , akan tetapi sangkaan saya rupanya silap. Bentuk projek yang sebenarnya perlu dilaksanakan oleh para pelajar di bawah seliaan cik Halimah adalah setiap kumpulan dikehendaki menjalankan penyelidikan tentang seseuatu projek keusahawanan dengan merasai pengalaman sendiri berkunjung ke tempat yang dijalankan sesuatu perusahaan dan menemubual pengusaha. Setiap kumpulan dikehendaki menghantar proposal tentang tajuk projek keusahawanan pilihan masing-masing kepada penyelia sebelum mendapat kelulusan projek yang ingin dijalankan.
Episod Ketiga; Pemilihan tajuk projek
Saya bersama ahli kumpulan yang lain mengadakan perjumpaan untuk sesi pebincangan dalam pemilihan tajuk projek usahawan yang ingin dijalankan. Hasil perbincangan kami memilih untuk menjalankan kajian keusahawanan tentang teh di Cameron Highland. Proposal di hantar kepada penyelia dan tajuk pilihan kami diluluskan. Namun begitu, pada sesi perbincangan yang lain, salah seorang ahli kumpulan mencadangkan tajuk madu lebah dan kebetulan projek keusahawanan lebah ini dimajukan oleh seorang pengusaha berbangsa Cina di negeri Melaka. Penukaran tajuk daripada teh kepada madu lebah ini disebabkan potensi madu lebah lebih baik berbanding teh pada tanggapan kami.




Episod Keempat: Perlaksanaan Projek Penyelidikan Tentang Perusahaan Lebah Madu di Melaka
Kajian tentang projek keusahawanan lebah madu ini di jalankan di dua buah tempat iaitu Muzium Lebah Sedunia, Ayer Keroh Melaka dan Ladang Penternakan Lebah, Bukit Katil Malaka pada tarikh yang berbeza.
Tarikh: 4 Mac 2010 bersamaan 18 Rabiul Awwal 1431
Pada hari khamis bertarikh 4 Mac 2010 bersamaan 18 Rabiul Awwal 1431, saya bersama ahli kumpulan bertolak ke Melaka bagi menjalankan gerak kerja yang diamanahkan ini. Sebelum ke sana kami telah membuat temu janji terlebih dahulu dengan Mr. Ong Kang Peng selaku pemilik muzium lebah sedunia beserta ladang ternakan lebah. Setibanya di Muzium Lebah Sedunia yang merupakan destinasi pertama halatuju kajian kami, saya dan juga ahli kumpulan disambut baik oleh salah seorang pekerja di situ yang dikenali dengan panggilan Mr. Wong.
Kami seterusnya meninjau di sekitar Muzium tersebut. Apa yang pengunjung boleh dapati di dalam muzium ini antaranya pemeran pelbagai spesies lebah yang telah diawet, pemeran produk madu dari pelbagai jenis negara yang mana bukan untuk dijual, serta produk-produk pengeluaran berasaskan lebah seperti madu asli, propolis, krim bisa lebah dan sebagainya. Kami menggunakan ruang kesempatan yang ada dengan mengajukan pelbagai persolan kepada Mr.Wong berdasarkan pengetahuan sedia ada beliau tentang lebah madu ini. Setiap persoalan yang diajukan dijawab baik oleh Mr. Wong dan layanan mesra yang diberikan membuatkan kami tidak merasa kekok berkomunikasi dengannya.

Pelbagai maklumat yang di perolehi bekaitan lebah madu ini. Namun begitu memandangkan Mr. Wong bukan pemilik syarikat lebah ini, maka maklumat yang berkaitan pengurusan kewangan termasuk modal, kos perbelanjaan dan lain-lain yang berkaitan tidak kami perolehi. Maklumat berkaitan selok belok pengurusan kewangan perlu kami dapatkan dari Mr. Ong pemilik syarikat lebah itu sendiri.

Tarikh: 5 Mac 2010 bersamaan 19 Rabiul Awwal 1431
Saya dan juga ahli kumpulan lain meneruskan gerak kerja kami dalam penyelidikan keusahawanan lebah madu ini dengan beralih ke destinasi seterusnya iaitu Ladang Penternakan Lebah di Bukit Katil Melaka. Jika sebelum ini kami mendapatkan maklumat melalui temubual dengan pekerja di Muzium Lebah Sedunia, namun pada kali ini kami berpeluang berjumpa dan menemubual sendiri pemilik ladang ternakan lebah iaitu Mr. Ong Kang Peng.
Temujanji yang dibuat antara kami dengan Mr. Ong Kang Peng adalah pada pukul 3 petang. Memandangkan beliau seorang yang sibuk, penetapan jadual waktu bersama pelanggan perlu diatur dengan baik agar tidak bertembung dengan agenda lain yang lebih penting..Alhamdulillah, kami berkesempatan berjumpa sendiri dengan beliau dan mendapatkan maklumat sebanyak mungkin berkaitan perusahaan lebah madu ini. Antara persoalan yang dikemukakan dari segi idea penglibatan dalam usahawan lebah madu ini, modal, kuantiti penghasilan madu dalam 1 hive beserta kekerapan kutipan, pengurusan pekerja dan hal yang berkaitan lebah.


Kami seterusnya berpeluang menyaksikan sendiri ternakan lebah dalam hive di bawah teduhan pokok durian yang terdapat di ladang tersebut. Mr. Ong menunjukkan kepingan sarang lebah yang di ambil dari hive tersebut dan memberi keizinan untuk kami memegangnya. Kami kemudiannya melawat pesekitaran ladang ternakan lebah tersebut dan mengambil gambar. Kami juga bergambar dengan Mr. Ong Kang Peng dan menyerahkan cenderahati sebagai tanda terima kasih atas kerjasama yang diberikan beliau dalam melancarkan lagi penyelidikan kami ini.
Setelah urusan kami selesai di ladang ternakan tersebut memandangkan apa yang kami hajati tercapai juga akhirnya, kami kemudiannya berangkat menuju ke pejabat pentadbiran beliau sendiri yang mana di situ juga terdapat ruangan khas penjualan produk-produk berasaskan lebah. Pada mulanya sebelum kajian dijalankan di tempat itu, saya beranggapan lebah hanya mengeluarkan madu. Namun begitu setelah melalui sendiri pengalaman berdasarkan pemerhatian terhadap perusahaan lebah madu ini, hakikatnya lebah bukan hanya mengeluarkan madu bahkan pelbagai manfaat lain lagi yang ada pada lebah seperti propolis, debunga asli, larva lebah, lilin lebah dan bisa lebah.
Perasaan taa’jub terhadap hikmat penciptaan lebah menyedarkan saya akan kehebatan Allah Taala dan pelbagai nikmat yang Allah berikan kepada manusia dengan mengambil manfaat dari penciptaan lebah ini. Maka bermainlah di kotak fikiran saya potensi perusahaan lebah madu ini bukan hanya dilihat dari skop yang sempit sahaja iaitu pengelaran madu semata-mata, malah apa sahaja yang boleh di ambil manfaat dari lebah boleh dijadikan produk keluaran yang boleh mendatangkan keuntungan lumayan.


Episod Kelima: Sesi Pembentangan
Perlaksanaan projek tentang keusahawanan lebah madu ini, dengan berkat bantuan dari Allah serta usaha sesama ahli kumpulan, akhirnya kami dapat melaksanakan juga.Begitu juga dengan ahli kumpulan yang lain masing-masing dapat menyiapkan tugasan yang dipertanggungjawabkan ini.
Hasil penyelidikan kami serta lima kumpulan lain perlu dibentangkan di hadapan penyelia dan ahli kumpulan lain. Jika kajian mengenai keusahawanan lebah madu menjadi kajian kami, bagi lima kumpulan lain pula telah menjalankan kajian keusahawanan mengenai kerepek, pertanian cili cara moden, gamat, keropok lekor dan ikan kelah. Pelbagai persoalan diajukan oleh Cik Halimah sepanjang sesi perbentangan berjalan.
Episod Terakhir: Pembuatan Buku
Gerak kerja kami diteruskan lagi dengan membuat sebuah buku berkaitan kajian projek keusahawanan lebah madu ini. Segala maklumat yang berkaitan keusahawanan lebah madu ini perlu di muatkan ke dalam sebuah buku dan buku tersebut akan menjadi penilaian penyelia. Usaha yang dilakukan ini walaupun melalui pelbagai rintangan namun cukup memberi pengalaman bermakna dalam diri saya. Ilmu berkaitan keusahawanan ini selain ditimba melalui pembacaan, mahupun penyelidikan ianya turut diperolehi dari penyelia sendiri Cik Halimah yang banyak memberi tunjuk ajar kepada saya dan juga pelajar-pelajar lain.

0 comments:

Post a Comment